4,701 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 6 Nov. – Kes harian Covid-19 kekal di bawah 5,000 apabila 4,701 kes dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,501,966 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah kes dikesan hari ini, sebanyak 4,613 kes atau 98.1 peratus adalah pesakit Covid-19 kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Katanya, sebanyak 88 kes bersamaan 1.9 peratus lagi adalah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

Secara keseluruhannya, sehingga kini terdapat 544 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 527 kes disahkan Covid-19 dan 17 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi pesakit Covid-19 di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini terdapat 280 kes iaitu 212 disahkan Covid-19, manakala 68 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Selain itu, 28 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, membabitkan 20 warga tempatan dan lapan warga asing.

Mengenai tiga kluster baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata, semuanya membabitkan tempat kerja dan masing-masing dikesan di Lembah Klang dan Johor.

Setakat pukul 12 tengah hari ini terdapat 5,382 kes sembuh, menjadikan sehingga kini sebanyak 2,407,205 individu sudah pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

Related posts

Leave a Comment