KUALA LUMPUR 7 Jun – Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 17 Jun ini, manakala esok permulaan bulan Zulhijjah 1445 Hijrah.
Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Mohd Aseral Jusman membuat pengumuman itu yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1445 Hijrah ialah pada 8 Jun 2024 Masihi.
“Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ialah pada hari Isnin, 17 Jun 2024 Masihi,” katanya.
