PRN keputusan sukar semasa pandemik

KUCHING 5 Nov. – Keputusan untuk melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 ketika tempoh pandemik adalah satu keputusan yang sukar bagi Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, situasi unik ini berlaku julung kalinya di dalam sejarah Sarawak di mana Kerajaan Negeri perlu mendapatkan mandat baharu dalam masa yang sama mentadbir dan melaksanakan strategi menangani wabak.

Tegasnya, adalah suatu pengkhianatan sekiranya kerajaan negeri terus digantung serta tidak mengadakan PRN12.

“Maka dalam membuat keputusan kita perlu berhati-hati dan sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan dan pemegang taruh yang lain bagi memastikan PRN12 akan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) bagi elak penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini berhubung PRN.

Abang Johari turut memaklumkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menjadi Kerajaan Interim di mana ia adalah transisi biasa yang berlaku sebelum Kerajaan baharu terbentuk.

“(Sebagai Kerajaan Interim), kita tidak boleh membuat apa-apa keputusan besar sebab itulah mandat perlu dikembalikan kepada rakyat.

“Walaupun semasa Darurat tanpa sebarang mandat, kita tidak boleh membuat apa-apa keputusan besar kita hanya mentadbir negara sebagaimana adanya.

“Kerana apa yang penting kita mahu pulih daripada pandemik. Jadi apabila kita mendapat mandat maka barulah kita boleh memulakan pelaksanaan dasar kita,” jelasnya lagi.

Beliau turut memberitahu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Mohd Asfia Awang Nassar akan memaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pembubarannya sebagai prosedur.

“Sebabnya (DUN) dah terbubar berkuat kuasa 3 November lalu kerana ini adalah situasi unik di mana Yang di-Pertuan Agong telah mengangkat Proklamasi Darurat dan secara automatik ia terbubar. Tapi untuk mematuhi prosedur, Speaker kita akan maklumkan kepada SPR juga,” katanya.

Related posts

Leave a Comment