Brunei lapor 125 kes baharu

BERAKAS 3 Nov. – Brunei Darussalam hari ini merekodkan 125 kes baharu Covid-19 yang membawa kepada jumlah keseluruhan 13,446 kes.

Menteri Kesihatan  Dr Md Isham Jaafar berkata, terdapat 52 tambahan kes baharu yang melibatkan enam kluster aktif sedia ada, pada hari ini, yang merupakan kontak-kontak terdekat bersama beberapa kes positif sebelumnya.

Tujuh kluster baharu direkodkan termasuk empat kluster asrama pekerja yang mengesan 31 kes.

Dua kluster ditutup iaitu Kluster 6602 dan Kluster 7481 selepas tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari menjadikan jumlah kluster aktif ketika ini 176.

Dalam pada itu, tambahnya, terdapat 42 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Sebanyak 200 kes disahkan sembuh, pada hari ini, yang membawa jumlah kes pulih di Brunei Darussalam terus meningkat kepada 11,923 kes, manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,433 kes.

Dalam kalangan kes yang sedang dalam rawatan,  enam kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat, di Unit Rawatan Intensif.

Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ExtraCorporeal Membrane Oxygenation – ECMO).

Sementara itu, 14 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

Related posts

Leave a Comment