Sejauh mana BN sokong calon Pas PN?

EMPAT hari lalu, Tuan Ibrahim Tuan Man tampil dengan cadangan agar pihak yang bekerjasama dengan mereka menggunakan satu logo bersama, iaitu lambang bulan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Sama ada berseloroh atau sebaliknya, Timbalan Presiden Pas dilaporkan berkata: “Oleh kerana semua parti bersetuju bekerjasama dengan Pas, elok kalau kita gunakan satu logo iaitu logo Pas dalam PRN Melaka nanti,”

Akhirnya semalam, Pas membuat keputusan untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) setelah mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama Pas. Satu perkembangan yang boleh mencetuskan ‘pertikaian’ baharu.

Kali pertama Pas meninggalkan bulan dalam pilihan raya selepas menjadi ‘penonton’ di gelanggang PRN Sabah.

Dengan keputusan Pas itu, selesai sudah satu isu di pihak PN. Bagaimana pula dengan Muafakat Nasional (MN)  di mana Pas menjalin kerjasama dengan UMNO?

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, asas persefahaman dengan Pas berpandukan kepada prinsip Pas menggunakan lambang partinya sendiri.

Ia adalah selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020. Sekarang situasi berubah.

Sejauh mana keputusan Pas akan mempengaruhi isu-isu berkaitan pembahagian kerusi ? Apakah UMNO akan menyokong calon Pas yang menggunakan lambang PN ? Adakah UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan bergerak secara solo?

Dan paling penting adakah komponen parti yang menguasai kerajaan mampu mengelakkan pertembungan tiga penjuru – BN (UMNO), Pas dan Bersatu?

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, BN bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Pas 24 kerusi dan Bersatu di bawah Pakatan Harapan (PH) bertanding enam kerusi.

Hasilnya Pas gagal memenangi sebarang kerusi manakala BN menang 13 kerusi dan Bersatu dua kerusi.

Adakah strategi Pas ini untuk menang dengan sokongan Bersatu dan BN di kawasan yang ditandinginya? Adakah itu jalan lebih mudah untuk Pas menang dalam pertembungan dengan PH khususnya Amanah?

Penyertaan parti lain seperti Putra dan Muda serta Bebas akan terus mewujudkan pertandingan tiga penjuru. Apatah lagi jika BN bertanding secara solo di semua kawasan yang akan memberi laluan pertembungan tiga penjuru BN-PH-PN.

Dengan berbaki tidak sampai seminggu menjelang hari penamaan calon, apakah ‘wajah’ yang akan ditampilkan BN, Pas dan Bersatu pada PRN Melaka ini?

Adakah akhirnya akan berlaku muafakat Pas dan BN di peringkat pusat sahaja dan mereka ‘bergasak’ di peringkat negeri untuk berkuasa?

Memang tidak dinafikan BN dan Pas mempunyai pengaruh tersendiri di negeri tertentu, dalam erti kata lain tidak perlu kolam lain untuk ‘hidup’. Namun dalam situasi politik hari ini, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Di pihak PH, gabungannya dijangka tidak menghadapi masalah besar dan jika diikut formula yang lepas, pembahagian adalah lapan kerusi ditandingi PKR dan DAP sementara Bersatu dan Amanah masing-masing enam kerusi.

Maknanya kali ini ada lebihan enam kerusi yang diperuntukkan kepada Bersatu untuk diagihkan bersama PKR, DAP dan Amanah. Ikut pembahagian yang diputuskan PKR bertanding 11 kerusi, Amanah 9 dan DAP 8.

Dengan berbekalkan kerusi yang ada, BN sudah tentu akan terus mempertahankan (bertanding) 13 kerusi yang dimenanginya dan selebihnya berkongsi dengan Pas tetapi keputusan Pas semalam menimbulkan satu ‘pertikaian’ baharu.

Sejauh mana BN akan menyokong calon Pas yang menggunakan lambang PN?

Related posts

Leave a Comment