Malaysia tempah 87.9 juta dos vaksin

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Sebanyak 87.9 juta dos vaksin ditempah oleh Kementerian Kesihatan melalui Fasiliti COVAX dan secara rundingan terus dengan beberapa pengeluar vaksin Covid-19 setakat ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin?

Beliau berkata tempahan itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM4.64 bilion merangkumi kos dan logistik vaksin.

Katanya, perincian perolehan vaksin Covid-19 adalah AstraZeneca melalui Fasiliti COVAX sebanyak 6.4 juta dos, Pfizer & BioNTech (44.8 juta dos) dan AstraZaneca/University of Oxford (6.4 juta dos).

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, beliau juga memaklumkan, Sinovac membabitkan 20.4 juta dos, CanSino (3.5 juta dos) dan Gamaleya (Sputnik V) sebanyak 6.4 juta dos.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang meminta kerajaan memperincikan jumlah kos dibelanjakan bagi perolehan vaksin Covid-19.

Khairy bagaimanapun berkata, bagi Gamaleya, ia tertakluk kepada kelulusan pendaftaran vaksin yang diterima daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Memandangkan kerajaan terikat dengan Non Disclosure Agreement (NDA) iaitu syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin, maklumat terperinci setiap perjanjian tidak boleh didedahkan termasuklah harga vaksin.

“Bagaimanapun, kos perolehan bagi setiap jenis vaksin dijelaskan dalam Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dijalankan sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan turut menerima sumbangan vaksin daripada beberapa negara.

Jepun menyumbangkan 998,499 dos AstraZeneca, Amerikat Syarikat (1,000,350 dos Corminaty), China (500,000 dos CoronaVac) dan United Kingdom (415,000 dos AstraZeneca).

Pada Jun lalu, Kementerian Luar dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyumbang sebanyak 50,000 dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Bosnia.

Related posts

Leave a Comment