DAP tetap tolak ‘kumpulan Idris’

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengekalkan pendirian menolak ‘Kumpulan Idris Haron’ sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Bagaimanapun DAP hanya mampu meyakinkan sekutunya dalam PH untuk menolak dua daripada empat bekas ADUN yang sebelum ini menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali yang membuka laluan untuk PRN.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata DAP hanya berjaya meyakinkan sekutunya untuk menolak dua bekas ADUN manakala dua lagi masih dipertimbangkan seperti yang dinyatakan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata DAP terus konsisten mempertahankan prinsip, cita-cita dan integriti  bahawa PH perlu menjauhkan diri daripada golongan ‘kleptokrat, oportunis dan penyangak’ untuk mengekalkan dan tidak kehilangan ketinggian nilai moral.

“Apa yang dikatakan adalah bagi mencapai kemenangan di Melaka, kita perlu secara taktikal bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan.

“Bagaimanapun, matlamat itu tidak membenarkan cara, terutamanya apabila komitmen mereka terhadap reformasi tulen politik yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara diragui,” katanya.

Selain Idris, tiga bekas ADUN yang lain itu adalah Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Guan Eng turut mendedahkan bahawa DAP telah kalah undian dalam PH oleh PKR dan Amanah selain terpaksa akur dengan keputusan majoriti demi kepentingan perpaduan pakatan.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa keputusan majoriti yang dibuat sebelum ini adalah betul.

“DAP berharap kewarasan akan tertegak dalam PH dan menggesa sekutu kami dalam PH supaya memilih mereka yang ikhlas terhadap aspirasi PH dan bukannya mereka yang bermotifkan politik oportunis semata-mata,” ujarnya.

Tegasnya, PH tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dengan kehilangan ketinggian nilai moral dengan membenarkan dua daripada empat ADUN berkenaan bertanding sebagai calon PH pada PRN tersebut.

Related posts

Leave a Comment