Lebih 1.3 juta kembali ke sekolah

MELAKA 1 Nov. – Lebih 1.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang beralih ke Fasa Empat, Pelan Pemulihan Negara (PPN) memulakan sesi persekolahan, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan,  Dr Radzi Jidin, berkata ia merangkumi 694,531 murid sekolah rendah membabitkan Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) dan 652,148 pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat.

“Kemasukan yang berperingkat ini membolehkan kita mengawal dan memantau keadaan di sekolah bagi memastikan operasi sekolah berjalan lancar dan teratur,” katanya selepas menghadiri sesi libat urus KPM di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, di sini, hari ini.

Radzi berkata, selain daripada membuat pemantauan di sekolah, pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama semua guru, termasuk guru prasekolah serta ibu bapa.

Katanya, sesi libat urus itu membabitkan perkara berkaitan dengan pengoperasian dan menumpukan konsep Sekolahku Sejahtera, yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Konsep berkenaan adalah sebagai usaha untuk menerapkan nilai penting dalam kehidupan anak-anak dan sudah pasti ia bukanlah satu mata pelajaran baharu, sebaliknya kaedah menerapkan nilai semula jadi dalam kehidupan yang akan menjadi satu norma buat generasi baharu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPM sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk turun padang secara mengejut memantau tahap pengudaraan optimum di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya melihat ada peningkatan dalam usaha untuk mengoptimumkan pengudaraan di sekolah meskipun pada peringkat awal ramai dalam kalangan pentadbir sekolah kurang memahami mengenai kaedah serta pendekatan yang boleh digunakan bagi melaksanakan usaha berkenaan.

Related posts

Leave a Comment