95.5 peratus dewasa terima dua dos

PUTRAJAYA 31 Okt. – Sebanyak 74.8 peratus atau 24.41 juta individu daripada kira-kira 32 juta penduduk negara ini telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 sehingga tengah malam tadi.

Portal COVIDNOW menunjukkan, 95.5 peratus atau 22.34 juta golongan dewasa lengkap menerima dua dos, manakala 97.7 peratus atau 22.86 juta sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Kadar itu dicapai kira-kira 39 hari selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) remaja bermula secara rasmi pada 19 September lalu.

Bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 83 peratus atau lebih 2.6 juta menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, dan 65.5 peratus atau lebih 2 juta pula sudah lengkap dua dos.

Setakat semalam, hanya sekitar 2.3 peratus daripada 23.4 juta penduduk dewasa masih belum divaksin, dan sejumlah 17 peratus daripada 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun belum divaksin.

Ketika ini, hanya dua negeri masih mencatat jumlah penduduk dewasa lengkap divaksin di bawah 80 peratus, iaitu Kelantan (78.9 peratus) dan Sabah (73.1 peratus), manakala lapan negeri dan wilayah sudah merekodkan lebih 90 peratus.

Related posts

Leave a Comment