AS rekod 700,000 kematian Covid-19

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merekodkan lebih 700,000 kematian akibat Covid-19 semalam (1 Okt.) dengan jumlah kes pula lebih 43.61 juta mengatasi negara-negara lain di dunia.

Pada masa yang sama angka global menunjukkan 4.78 juta meninggal dunia manakala jumlah kes pula mencecah lebih 234 juta.

Berdasarkan pelbagai data yang dikumpul, AS mencatat purata lebih 2,000 kematian setiap hari sepanjang minggu lalu.

Penyelidik di Universiti Washington pula meramalkan 100,000 lagi nyawa rakyat Amerika akan menjadi korban pada musim sejuk akan datang.

Angka kematian akibat koronavirus di seluruh dunia dijangka melepasi 5 juta dengan kes di AS membentuk 14 peratus jumlah tersebut.

Gelombang varian Delta yang lebih mudah menular menyebabkan lonjakan kes dicatatkan sekitar pertengahan September sebelum merosot ke paras sekitar 117,625 kes setiap hari sepanjang tempoh seminggu lalu.

Sekitar 56 peratus penduduk AS sudah lengkap menerima dos vaksin mereka dengan sekitar 65 peratus lagi sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos suntikan vakisn.

Pihak berkuasa juga mula memberi dos ketiga untuk melindungi warga tua dan mereka yang bekerja dalam sekitaran berisiko tinggi.

Sejak Isnin lalu, pekerja jagaan kesihatan di hospital-hospital di New York yang melanggar perintah negeri untuk mendapatkan suntikan vaksin, sama ada dipecat atau digantung kerja.

Semalam, Gabenor California Gavin Newsom mengumumkan program vaksinasi Covid-19 akan diwajibkan kepada semua pelajar di negeri itu, peraturan pertama dilaksanakan di AS.

Bagaimanapun, program vaksinasi itu yang dijadualkan seawal Januari, akan dilaksanakan secara berperingkat selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) memberikan kelulusan penuh bagi pengambilan vaksin Covid-19 ke atas kelompok usia lebih muda.

Menurut Newsom, pelajar dikehendaki mendapatkan vaksin untuk mereka kembali ke sekolah.

Related posts

Leave a Comment