WHO kaji peningkatan semula kes

GENEVA: Berikutan peningkatan semula kes Covid-19 di seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menjejaki dengan teliti subvarian Delta bagi menentukan sama ada ia lebih mudah berjangkit berbanding strain asal.

Di samping itu, WHO turut mengkaji sama ada manusia lebih berdaya tahan terhadap subvarian dikenali AY.4.2, yang dikesan di sekurang-kurangnya 42 negara.

WHO dalam kemas kini epidemiologi mingguannya berkata, peningkatan dalam urutan AY.4.2 diperhatikan sejak Julai lalu.

“Kajian epidemiologi dan makmal sedang dijalankan untuk melihat sama ada terdapat perubahan dalam penularan varian atau penurunan keupayaan antibodi manusia untuk menyekat virus itu,” kata WHO.

Subvarian itu mempunyai tiga mutasi tambahan berbanding varian Delta yang asal, dengan sekitar 93 peratus kes melibatkan subvarian itu dikesan di Britain.

Ia juga menyumbang kepada kira-kira 5.9 peratus daripada semua kes Delta yang dilaporkan di Britain dalam tempoh seminggu bermula 3 Oktober.

Menurut WHO lagi peningkatan jumlah kes dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 25 tahun juga dilaporkan sejak awal Julai, khususnya di Eropah dan Pasifik Barat.

Situasi ini mungkin disebabkan penduduk lebih tua sudah diberi vaksin, golongan muda lebih cenderung bergaul secara sosial dan kemungkinan virus menular di sekolah dengan lebih ramai golongan muda kembali menjalani pembelajaran bersemuka.

Menurut WHO, data mengenai 123 juta kes Covid-19 yang dicatatkan menunjukkan 51 peratus adalah wanita, tetapi lelaki menyumbang kepada 58 peratus daripada kes kematian.

WHO berkata dalam kalangan mereka yang berumur lebih 65 tahun, kadar kematian menurun sejak September 2020, yang mungkin disebabkan lebih ramai individu dalam kumpulan umur itu diberi vaksin selain penjagaan klinikal yang lebih baik.

Menurutnya, setakat ini 47 peratus penduduk dunia menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Related posts

Leave a Comment