KIEV: Rakyat Ukraine berpusu-pusu ke pusat pemberian vaksin mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 berikutan sekatan baharu kerajaan yang mewajibkan vaksin baru-baru ini.
Berikutan itu, lebih 1.6 juta suntikan diberikan minggu ini berbanding 906,000 suntikan minggu sebelumnya.
Ukraine menguatkuasakan pendekatan anti-Covid-19 baharu dalam usaha mengekang lonjakan kes positif dan kematian.
Kakitangan dan pelawat di tempat awam termasuk pawagam dan gimnasium di beberapa wilayah yang terjejas teruk wajib mendapatkan vaksin dan langkah itu diperluaskan kepada tujuh lagi wilayah pada Sabtu.
Datuk Bandar Kiev dan bekas juara tinju, Vitali Klitschko menggesa penduduk untuk mendapatkan vaksin sebagai satu-satunya cara untuk mencegah penularan virus yang cepat dan untuk menyelamatkan nyawa orang ramai.
Ukraine menyediakan tiga jenis vaksin – AstraZeneca, Pfizer dan CoronaVac buatan China. Bagaimanapun hanya 18 peratus penduduk negara itu lengkap vaksin.
Ukraine merekodkan lebih 2.8 juta kes Covid-19 dan 65,000 kematian sejak pandemik itu bermula.
