Singapura catat peningkatan luar biasa

SINGAPURA 28 Okt. – Angka kes jangkitan harian Covid-19 di Singapura melonjak melebihi 5,000 kes apabila Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 5,324 kes setakat pukul 12 tengah hari semalam.

Peningkatan luar biasa itu mengatasi jumlah kes harian yang direkodkan kelmarin (Selasa) iaitu 3,277 dan 3,994 kes pada 19 Oktober lalu.

Pada masa yang sama sebanyak 10 lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan oleh jangkitan virus itu dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian Covid-19 meningkat kepada 349 orang.

Menurut MoH, bagi kes jangkitan pula, setakat semalam Singapura merekodkan 184,419 kes.

Dalam kalangan kes semalam, sebanyak 5,312 adalah kes jangkitan tempatan yang terdiri daripada 4,651 kes dalam masyarakat, 661 kes di asrama pekerja asing dan

12 lagi kes import.

Dalam kenyataan malam tadi, MoH menyatakan, jumlah jangkitan luar biasa tinggi itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kebanyakan kes positif Covid-19 yang dikesan oleh makmal-makmal ujian dalam masa beberapa jam.

MoH sedang memantau peningkatan luar biasa dalam tempoh yang agak singkat ini dan melihat dengan teliti trend sepanjang beberapa hari akan datang.

Kadar jangkitan mingguan setakat semalam adalah 1.15 yang merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat sepanjang minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Bagi kes kematian pula, pesakit yang meninggal dunia berusia antara 54 dengan 96 tahun di mana semua kecuali satu kes tidak divaksin mengalami pelbagai masalah kesihatan.

MoH juga memaklumkan, dalam kalangan kes Covid-19 dalam masyarakat yang dirujuk atau dimasukkan ke hospital, 20,895 pesakit atau 74.3 peratus sedang menjalani pemulihan di rumah.

Sebanyak 4,589 kes dirawat di kemudahan jagaan masyarakat dan 849 kes di kemudahan rawatan Covid-19 dan baki 1,777 pesakit dimasukkan ke hospital, dengan sebahagian besarnya untuk dipantau keadaan mereka.

Sebanyak 308 pesakit di wad biasa memerlukan sokongan oksigen, 76 pesakit di

Unit Jagaan Rapi (ICU) dalam keadaan tidak stabil dan sedang dipantau rapi untuk mencegah keadaan mereka daripada menjadi bertambah teruk dan 66 sakit tenat.

Semalam, sebanyak 3,172 kes secara keseluruhannya dibenarkan pulang.

Related posts

Leave a Comment