10 warga emas meninggal dunia

SINGAPURA 27 Okt. – Sepuluh warga emas meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dan 3,277 kes baharu direkodkan di Singapura setakat 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan 339 kematian dan 179,095 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), mereka yang meninggal dunia berusia antara 66 dengan 98 tahun dan semua kes kecuali satu belum divaksin serta mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

Dalam kalangan kes baharu itu, 3,272 adalah kes jangkitan dalam negeri, merangkumi 2,984 kes dalam masyarakat dan 288 kes di asrama pekerja asing, sementara lima lagi merupakan kes import.

Menurut MoH, kadar peningkatan jangkitan mingguan adalah 1.11 setakat Selasa yang merujuk kepada nisbah jangkitan dalam masyarakat sepanjang minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Dalam kalangan kes Covid-19 dalam masyarakat yang dirujuk atau dimasukkan ke hospital, 19,013 pesakit, atau 72.4 peratus, sedang menjalani pemulihan di rumah.

Sebanyak 4,570 kes dirawat di kemudahan jagaan masyarakat, 878 kes di kemudahan rawatan Covid-19 dan baki 1,787 pesakit dimasukkan ke hospital dengan sebahagian besar untuk dipantau keadaan mereka.

Daripada jumlah itu, 289 pesakit memerlukan sokongan oksigen tambahan di wad-wad biasa.

Di unit jagaan rapi (ICU), terdapat 79 pesakit dengan keadaan tidak stabil dan di bawah pemantauan rapi manakala 67 pesakit dalam keadaan tenat dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 2,856 kes sembuh dilaporkan semalam dan Q435 daripadanya adalah warga tua berusia 60 tahun ke atas.

Related posts

Leave a Comment