Dua hari tol percuma sempena Deepavali

KUALA LUMPUR 10 Nov. –  Sempena sambutan Deepavali, pengguna lebuh raya diberi kemudahan tol percuma selama dua hari bermula 12.01 tengah malam ini sehingga pukul 11.59 malam Ahad ini.

Menteri Kerja Raya,  Alexander Nanti Linggi, berkata pemberian tol percuma itu melibatkan semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan semua rakyat Malaysia, terutama masyarakat India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexander berkata, pemilihan tarikh pemberian tol percuma berkenaan, yang dipersetujui kementeriannya dan syarikat konsesi bertujuan mengelak penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar, dengan anggaran jumlah trafik pada dua hari itu adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.

Ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan, seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas dan keperluan logistik lain, membabitkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.

Beliau berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini, selain merancang perjalanan dengan sebaiknya.

“Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

“Aspek keselamatan dan pemanduan selamat perlu dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.

Alexander turut mencadangkan pengguna lebuh raya menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala.

Mereka juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

Related posts

Leave a Comment