Vaksin kanak-kanak 6 – 11 tahun

WASHINGTON: Syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS) Moderna melaporkan tindak balas antibodi yang kuat kepada vaksin Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun.

Data dari ujian percubaan klinikal melibatkan 4,753 kanak-kanak dalam kumpulan usia itu “menunjukkan respons daya ketahanan yang kuat… sebulan selepas dos kedua diberikan”.

Justeru Moderna akan menyerahkan data ujian percubaan itu kepada pengawalselia global tidak lama lagi.

Moderna dalam kenyataannya menyatakan sebahagian besar daripada kesan sampingan yang dialami semasa ujian percubaan itu adalah ringan atau sederhana termasuk rasa letih, pening kepala, demam dan sakit di tempat suntikan.

Dos vaksin yang diberikan dalam ujian percubaan itu adalah sebanyak 50 mikrogram, separuh daripada dos yang digunakan bagi golongan dewasa. Jumlah itu juga diluluskan untuk kegunaan sebagai dos perangsang.

Keputusan ujian Moderna itu diperoleh selepas Pfizer menyatakan pada minggu lalu bahawa vaksin Covid-19 keluaran syarikat itu adalah 90 peratus berkesan dalam mencegah penyakit bergejala dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) telah mengatur bagi sebuah panel penasihat pakar bebas untuk bertemu pada hari ini  (26 Okt) untuk mengundi sama ada memberi lampu hijau kepada vaksin Pfizer.

Mengikut rekod , lebih 150 kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun meninggal dunia akibat COVID-19 di AS sejak permulaan pandemik, menurut data rasmi.

Related posts

Leave a Comment