Operasi Pulih lanjut hingga 14 Nov.

BERAKAS 26 Okt. – Brunei Darussalam melanjutkan langkah-langkah pengawalan Operasi Pulih selama  14 hari lagi mulai 1 sehingga 14 November ini , kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Awang Mohd. Amin Liew Abdullah.

Katanya, langkah itu bagi mempersiapkan Brunei ke arah proses pemulihan untuk menghadapi norma baharu dalam kehidupan, dengan mengawal keadaan penyakit Covid-19 dan memberi masa p meningkatkan liputan vaksinasi penduduk .

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi II berkata, pelaksanaan Operasi Pulih sudah berjalan selama tiga minggu, dan mula membuahkan hasil yang positif sejak minggu lepas.

Pada sidang media semalam, beliau berkata statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa kadar nilai-nilai sukatan epidemiologi berada di tahap yang stabil serta kadar kebolehjangkitan yang menunjukkan penurunan.

Bagaimanapun kadar jangkitan harian masih menunjukkan jumlah kes yang tinggi, tetapi jumlah pesakit-pesakit yang kritikal, iaitu dalam Kategori 4 dan 5, adalah stabil dan tidak menunjukkan peningkatan.

Beliau berkata, Operasi Pulih tersebut juga, membuka peluang bagi pihak kerajaan untuk mengenal pasti trend dan ‘pattern’ jangkitan yang sebenar serta mengenal pasti perkara-perkara yang memerlukan perhatian lanjut.

“Di samping itu, alhamdulillah, Program Vaksinasi Kebangsaan juga telah menunjukkan keberkesanannya dan kita berada di landasan yang tepat ke arah mencapai sasaran 80 peratus menjelang penghujung tahun 2021.

“Pelanjutan Operasi Pulih ini juga akan memberi ruang dan masa kepada kerajaan untuk mempercepatkan lagi usaha pemberian vaksin kepada rakyat dan penduduk negara ini, khususnya Program Vaksinasi kepada individu berumur dalam lingkungan  12 – 17 tahun,” katanya.

Related posts

Leave a Comment