Trend penurunan kes di Malaysia

PUTRAJAYA 25 Okt. – Malaysia menunjukkan trend penurunan kes Covid-19 sejak Minggu Epidemiologi ke-34, seperti kebanyakan negara Asia Tenggara lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Singapura dan Brunei menunjukkan trend peningkatan dengan mencatat kadar kes bagi setiap sejuta penduduk yang lebih tinggi, berbanding Malaysia (180.91 kes) iaitu pada kadar 584.86 kes (Singapura) dan 499.88 kes (Brunei).

Beliau berkata walaupun Malaysia menunjukkan penurunan kes, prosedur operasi standard (SOP) perlu terus diamalkan bagi mengelakkan peningkatan kes seperti negara jiran, selepas pembukaan sektor pendidikan dan ekonomi.

Katanya, berdasarkan indikator jangkitan, pada minggu ke-42 antara 17 sehingga 23 Oktober lalu, negara mencatatkan penurunan kes baharu Covid-19 sebanyak 20.7 peratus iaitu daripada 52,321 kes (minggu ke-41) kepada 41,508 kes (minggu ke-42).

Dalam kenyataannya, beliau berkata purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 21.0 peratus iaitu daripada 105,497 kes (minggu ke-41) kepada 83,605 kes (minggu ke-42).

Kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak 16.4 peratus, iaitu daripada 593 kes (minggu ke-41) kepada 496 kes (minggu ke-42) manakala kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan penurunan 16.5 peratus iaitu 684 kes (minggu ke-41) kepada 571 kes (minggu ke-42).

Kes yang memerlukan bantuan pernafasan menunjukkan penurunan 14.4 peratus, iaitu 292 kes (minggu ke-41) kepada 250 kes (minggu ke-42).

“Nilai kadar kebolehjangkitan (RT) kekal stabil, iaitu sekitar nilai 0.88.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 56 kluster yang dilaporkan pada minggu ke-42 pula terdiri daripada 35 (62.5 peratus) kluster tempat kerja; sembilan (16.1 peratus) kluster komuniti; tujuh (12.5 peratus) kluster pusat pendidikan; tiga (5.3 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi; dan dua (3.6 peratus) kluster keagamaan.

Pada masa sama, beliau berkata, sehingga 23 Oktober, sejumlah 25,161,659 individu sudah mendaftar bagi mendapatkan pelalian Covid-19.

Beliau berkata, sebanyak 94.5 peratus daripada penduduk dewasa sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 lengkap, manakala sebanyak 72.4 peratus daripada keseluruhan penduduk sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 lengkap.

Kementerian Kesihatan juga memperuntuk 28,832 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC); 15,241 katil wad biasa; 1,374 katil wad di ICU, dan 2,861 alat bantuan pernafasan bagi merawat pesakit Covid-19, kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Penggunaan katil di PKRC dan katil di wad biasa dan ICU menunjukkan trend penurunan sekitar 4 hingga 8 peratus pada minggu ke-42 berbanding minggu ke-41.

Related posts

Leave a Comment