‘Lindungi masjid dan surau’

SEREMBAN 19 Okt. – Pihak yang memegang amanah menguruskan masjid dan surau di negeri ini wajib memahami falsafah kewujudan serta peranan utama rumah ibadat itu sebagai institusi menyatupadukan ummah.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir bertitah,  masjid dan surau adalah institusi yang wajib dimuliakan, diimarah dan dilindungi daripada sebarang perbuatan dan percakapan yang boleh menodai kesuciannya.

Justeru titah baginda ahli jawatankuasa hendaklah sentiasa melindungi masjid dan surau daripada dicemari oleh aktiviti yang boleh memecah-belahkan ahli kariah seperti aktiviti berpolitik atau melakukan perkara bercanggah dengan syarak.

“Setiap individu yang telah diberikan amanah sebagai jawatankuasa kariah, hendaklah sentiasa bersifat tegas dan bijaksana, tanpa membenarkan diri dimanipulasi atau diperalatkan oleh mana-mana pihak,” titah bagindan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan malam tadi.

Tuanku Muhriz turut bertitah bahawa Islam adalah agama yang mendasari segala aspek kehidupan seiring dalam apa jua perubahan keadaan dan peredaran zaman.

“Norma baharu kaedah beribadah ketika menghadapi pandemik, adalah contoh menggambarkan Islam memahami realiti suasana tanpa menafikan kesempurnaan pelaksanaan ibadah seseorang muslim,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut bertitah kerajaan negeri perlu terus memainkan peranan mentadbir dengan baik dan menyejahterakan rakyat di negeri ini dengan inisiatif peduli rakyat tanpa dibatasi sempadan kaum, bangsa, agama atau politik.

Baginda bertitah kekayaan dan kemakmuran negeri haruslah dinikmati oleh sekalian rakyat di negeri ini tanpa ada golongan yang tercicir.

“Beta berasa sukacita dengan hasil Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sedang berjalan ketika ini. Usaha sebegini tidak akan terhasil tanpa peranan, komitmen serta dedikasi ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan, serta mereka yang membantu di belakang tabir,” titah baginda.

Baginda memuji usaha murni semua pihak terlibat dalam menangani wabak Covid-19, terutama kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, anggota polis dan tentera, sukarelawan peringkat akar umbi di daerah, bandar dan mukim di negeri ini.

Related posts

Leave a Comment