Vaksin: Nasihat kepada warga pendidik

BERA 17 Okt. –  Warga pendidik diminta  mendapatkan segera vaksin Covid-19 kerana mereka bakal bersemuka dengan pelajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu demi perlindungan diri dan pelajar sekolah kerana keengganan guru mendapatkan vaksin akan meningkatkan risiko jangkitan di sekolah.

“Guru bertanggungjawab menjaga nyawa pelajar dan berharap guru yang belum divaksin berbuat demikian segera,” katanya di Majlis Penyerahan Peranti Komputer kepada pelajar di Parlimen Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan Bera, Bandar 32, hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini kekal dengan pendirian untuk memindahkan guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 sebaik sesi persekolahan bersemuka dibuka bagi memastikan sesi PdP di sekolah kelak tidak terjejas.

Kementerian itu turut mengesahkan terdapat 2,500 guru enggan divaksin di seluruh negara dan pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus bersama mereka untuk memujuk menerima suntikan vaksin.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut mengeluarkan pekeliling mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi itu sebelum 1 November ini.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, arahan kerajaan kepada guru serta rakyat yang layak mendapatkan vaksin adalah selari dengan prinsip dan ajaran Islam sebagai langkah menjaga kepentingan awam.

Katanya, Covid-19 akan terus wujud di dunia, justeru suntikan vaksin adalah sebahagian daripada usaha mengelak jangkitan wabak itu.

Beliau berkata, walaupun vaksin lengkap bukan tiket untuk bebas daripada jangkitan  tetapi kajian mendapati risiko jangkitan dalam kalangan penerima imunisasi Covid-19 amat rendah.

Ismail Sabri berkata, arahan KPM supaya setiap guru mendapatkan vaksin adalah tepat kerana tindakan itu sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan di kalangan pendidik dan pelajar.

“Langkah sama bukan hanya dilakukan di Malaysia, malah Arab Saudi turut menetapkan syarat setiap jemaah haji dan umrah wajib disuntik lengkap dua dos vaksin untuk menunaikan ibadah itu.

“Masyarakat tidak harus terpengaruh dengan pelbagai dakyah kononnya penerima vaksin berhadapan pelbagai risiko, tetapi perlu melihat kepada kesan positif penerima imunisasi lengkap Covid-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment