SINGAPURA 17 Okt. – Singapura melaporkan 3,348 kes baharu Covid-19 termasuk empat kes import setakat 12 tengah hari semalam, Sabtu (16 Oktober) dengan sembilan lagi kematian akibat komplikasi daripada jangkitan koronavirus itu.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 151,120 dan 224 orang meninggal dunia.
Menurut Kementerian Kesihatan, kematian itu melibatkan empat lelaki dan lima wanita, berusia antara 60 hingga 89 tahun.
Lima daripada mereka belum divaksin sama sekali manakala dua sudah menerima satu dos dan lagi dua sudah divaksin sepenuhnya.
Lapan daripada pesakit yang meninggal dunia itu mempunyai masalah kesihatan sedia ada manakala satu kes tidak divaksin tidak mengalami masalah kesihatan.
Dalam kalangan kes baharu itu, 3,344 adalah jangkitan dalam negeri, merangkumi 2,688 jangkitan dalam masyarakat dan 656 jangkitan di asrama pekerja asing.
Sementara itu dalam kalangan semua kes masyarakat yang dirawat atau dimasukkan ke hospital, 16,580 pesakit, atau 76.5 peratus menjalani pemulihan di rumah, 2,862 sedang dirawat di kemudahan jagaan masyarakat dan 766 di kemudahan rawatan Covid-19.
Baki 1,464 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan sebahagian besar daripada mereka sedang dipantau.
Menurut MoH, daripada jumlah itu, 310 pesakit memerlukan bantuan oksigen dan 62 berada di unit jagaan rapi (ICU).
Sepanjang 28 hari yang lalu, terdapat 68,147 individu terkena jangkitan, 1.1 peratus memerlukan bantuan oksigen dan 0.1 peratus dirawat di ICU.
Dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan oksigen atau dimasukkan ke ICU, 49.4peratus sudah lengkap divaksin dan 50.6 peratus belum divaksin atau sudah mendapatkan satu dos suntikan vaksin.
