Melaka, Lembah Klang ke Fasa 4

PUTRAJAYA 15 Okt. – Melaka dan Lembah Klang akan beralih ke Fasa 4 manakala Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah ke Fasa 3 mulai Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Isnin ini.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini.

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa. Dengan peralihan fasa ini,  Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lembah Klang membabitkan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.

Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki fasa tiga dan empat boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan laporan kes positif Covid-19 harian yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan, negara mencatatkan bilangan kes di bawah 10,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu berturut-turut.

“Kadar kebolehjangkitan atau R-naught juga terus mencatatkan penurunan dengan merekodkan angka di bawah paras 1.0 iaitu 0.86.

“Sehingga semalam, kadar vaksinasi populasi dewasa bagi dos pertama adalah 95 peratus manakala jumlah yang menerima dua dos vaksin pula seramai 91.2 peratus dan dijangka terus meningkat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment