2,932 kes, 15 kematian di Singapura

SINGAPURA 15 Okt. –  Singapura melaporkan 2,932 kes baharu Covid-19 semalam (Khamis) dengan 15 orang lagi meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan koronavirus itu.

Ini membawa kepada jumlah keseluruhan 138,327 kes manakala kematian pula meningkat kepada 207 orang.

Mereka yang meninggal dunia adalah lapan lelaki dan tujuh wanita, termasuk individu berusia 23 tahun yang belum lengkap divaksin dan seorang lagi individu berumur 34 tahun yang tidak divaksin.

Kedua-duanya juga mengalami beberapa masalah kesihatan sedia ada.

Sebanyak 13 individu lagi yang meninggal dunia berusia antara 60 hingga 89 tahun dan daripada jumlah itu, lapan tidak divaksin dan lima sudah divaksin sepenuhnya.

Kesemua mereka juga mempunyai pelbagai masalah kesihatan .

Dalam kalangan kes yang dilaporkan pada Khamis, 2,929 adalah jangkitan tempatan,  terdiri daripada 2,412 kes dalam masyarakat dan 517 penghuni dormitori pekerja asing.p manakala tiga lagi adalah kes import.

Di antara semua kes Covid-19 yang dirawat atau dimasukkan ke hospital, 16,723 kes atau 77.8 peratus sedang menjalani pemulihan di rumah, 2,823 sedang dirawat di kemudahan jagaan masyarakat dan 438 di kemudahan rawatan Covid-19.

Baki 1,511 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan sebahagian besar daripada mereka sedang dipantau, di mana daripada jumlah itu, 310 pesakit memerlukan sokongan oksigen dan 46 dalam unit jagaan rapi (ICU).

Sepanjang 28 hari yang lalu, dalam kalangan 63,299 individu yang terjangkit, 1.1 peratus memerlukan bantuan pernafasan dan 0.1 peratus di ICU.

Dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan oksigen atau dimasukkan ke ICU, 50.1 peratus sudah lengkap divaksin dan 49.9 peratus sama ada tidak divaksin atau belum lengkap divaksin.  

Related posts

Leave a Comment