Pengembara wajib peranti digital

PUTRAJAYA 25 Dis. –  Mulai minggu depan, semua pengembara yang pulang dari Arab Saudi akan diwajibkan memakai peranti digital bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ini berikutan kebanyakan kes varian baharu Covid-19, Omicron yang dikesan membabitkan individu kembali dari Jeddah, terutama yang baru pulang daripada menunaikan umrah.

Katanya, daripada keseluruhan 49 kes Omicron dikesan, 30 membabitkan mereka yang pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

Beliau berkata, kebanyakan individu terbabit yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah, didapati tidak mematuhi SOP itu, malah menerima tetamu ketika dalam tempoh kuarantin.

Ada dalam kalangan mereka bergaul dengan keluarga serta menerima tetamu daripada jiran tetangga,  bersalam untuk mengambil berkat tetapi akhirnya berlaku jangkitan Omicron.

“Oleh itu, tolong jangan keluar dari bilik, jangan berjumpa dengan orang, jangan menerima tetamu. Tunggu hingga semuanya selesai (kuarantin) dahulu, barulah berjumpa,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Buat masa ini, pengembara pulang dari sembilan negara disenaraikan sebagai berisiko tinggi, perlu dipakaikan peranti digital ketika menjalani kuarantin di rumah.

Sembilan negara terbabit ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

Mengulas lanjut, Khairy menegaskan, kerajaan sudah memberikan kelonggaran kepada pengembara untuk menjalani kuarantin di rumah, justeru mereka mesti mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita akan hidup dengan virus ini. Oleh itu, kerajaan sudah melonggarkan syarat supaya boleh menjalani kuarantin di rumah dan tidak lagi perlu mengeluarkan kos tinggi untuk kuarantin di hotel.

“Justeru tolong patuh, jangan bertemu sesiapa ketika dalam tempoh kuarantin, bagi mengurangkan penularan Covid-19 terutama varian Omicron yang kini dilihat semakin meningkat di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy menggalakkan individu yang ingin ke luar negara, supaya mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 terlebih dahulu.

Related posts

Leave a Comment