Presiden Brazil tolak vaksin

PRESIDEN Brazil, Jair Bolsonaro mengesahkan tidak akan menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun sebelum ini memaklumkan akan menjadi individu terakhir yang akan menerima vaksin di negara itu.

“Saya sudah memutuskan untuk tidak mendapatkan vaksinasi. Saya sedang meniliti kajian terbaharu. Saya juga sudah menerima imunisasi (selepas dijangkiti), jadi mengapa saya perlu divaksinasi?” ujarnya.

Bercakap dalam temubual bersama radio Jovem Pan pada Selasa malam, pemimpin itu yang ketika ini berdepan kontroversi dalam menangani pandemik itu sudah memutuskan untuk tidak mendapatkan vaksinasi.

“Saya sedang meniliti kajian terbaharu. Saya juga sudah menerima imunisasi (selepas dijangkiti), jadi mengapa saya perlu divaksinasi?” ujarnya.

Bolsonaro sebelum ini turut mendakwa, vaksin Pfizer boleh menyebabkan manusia ‘bertukar kepada buaya’ sebagai kesan sampingan.

Sejak dijangkiti Covid-19 pada Julai 2020, Bolsonaro sering kali mendakwa kajian menunjukkan beliau mempunyai antibodi yang tinggi untuk melawan virus tersebut dan tiada keperluan untuk dirinya divaksinasi.

Bolsonaro juga menolak pas kesihatan yang diberikan kepada mereka yang sudah divaksinasi di bandar-bandar utama di negara itu untuk membolehkan rakyat memasuki sesuatu premis.

“Bagi saya, kebebasan adalah melebihi perkara lain. Sekiranya seseorang rakyat itu tidak mahu divaksinasi, itu adalah hak mereka dan ia muktamad,” tegasnya.

Hampir 100 juta rakyat daripada 213 juta populasi negara itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka dengan 50 juta lagi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Minggu lalu, negara itu melepasi angka 600,000 kematian akibat Covid-19, kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.

Sikap enggan Bolsonaro menerima suntikan vaksin dikecam pelbagai pihak terutama ketika beliau menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan lepas.

Related posts

Leave a Comment