Pengecualian belum divaksin

SINGAPURA 13 Okt. – Masih ada pengecualian untuk individu belum divaksin memasuki pusat beli-belah dan kedai besar bangunan sendiri apabila langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi berkuat kuasa hari ini.

Individu terlibat adalah yang bekerja di pusat beli-belah dan kedai besar bangunan sendiri dan yang ingin mendapatkan khidmat perubatan dan jagaan kanak-kanak dibenarkan masuk jika mereka boleh menunjukkan bukti.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Enterprise Singapore (ESG) mengumumkan pengecualian tersebut dalam satu kenyataan media lewat semalam.

Langkah-langkah pengurusan selamat mengikut status vaksinasi diperluaskan kepada pusat beli-belah dan kedai besar bangunan sendiri yang bukan pasar raya, selain daya tarikan dan makan di luar di pusat penjaja dan kedai kopi.

Dalam kenyataannya, pihak berkuasa menyatakan bahawa pekerja belum divaksin di pusat beli-belah dan kedai-kedai besar bangunan sendiri perlu menjalani ujian Covid-19 sebanyak dua kali seminggu di bawah rejim vaksinasi atau ujian kerap sejak 1 Oktober.

Individu belum divaksin yang ingin mendapatkan rawatan perubatan dari doktor, doktor gigi dan pengamal perubatan tradisional Cina serta penjaga mereka, boleh memasuki pusat beli-belah dan kedai besar bangunan sendiri.

Mereka dikehendaki menunjukkan bukti janji temu perubatan mereka seperti surat, e-mel, SMS atau kad janji temu, untuk memasuki premis.

Begitu juga penjaga belum divaksin yang menghantar atau menjemput pulang kanak-kanak dari prasekolah dan pusat jagaan kanak-kanak juga dibenarkan memasuki premis dengan memiliki “surat sokongan” dari premis berkaitan.

Related posts

Leave a Comment