Tempoh 44 program IPTA dipendekkan

KUALA LUMPUR 4 Jun – Sebanyak 44 program pengajian di sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh dipendekkan tempoh pengajian daripada empat kepada tiga tahun, kata Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata pemendekan tempoh pembelajaran itu akan dapat membantu mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung oleh pelajar.

“Pada masa sama, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal,” katanya pada Majlis Penutupan Jom Masuk U di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, hari ini.

Beliau berkata langkah berkenaan adalah usaha berterusan KPT dalam mengemas kini dan menyusun program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara dengan cara terbaik serta menguntungkan semua pihak.

Mengulas Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) yang bermula tahun lalu, beliau berkata 10,000 mahasiswa yang juga wakil pertama daripada keluarga B40 akan dikecualikan sepenuhnya yuran pengajian di semua 20 universiti awam.

“Inisiatif ini akan memberi implikasi kewangan keseluruhan kira-kira RM30 juta kepada semua universiti awam,” katanya.

SULUNG diperkenalkan KPT bertujuan memberikan peluang dan kemudahan kepada generasi pertama yang cemerlang dalam kalangan keluarga B40 melanjutkan pengajian ke menara gading.

Related posts

Leave a Comment