90.6 % dewasa lengkap dua dos

PUTRAJAYA 13 Okt. – Kadar vaksinasi Covid-19 penduduk dewasa negara menghampiri 91 peratus apabila 21,220,121 individu atau 90.6 peratus daripada populasi dewasa melengkapkan dua dos suntikan setakat malam tadi.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan memaklumkan, 94.9% atau 22.21 juta populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Terdapat pertambahan 129,941 dos diberikan semalam membabitkan golongan dewasa dan remaja.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 21,437,380 individu atau 65.6% telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Pada masa sama, 75.2 peratus atau 24.56 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 370,995 atau 11.8 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah 46.04 juta dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi diberikan dos kepada golongan dewasa iaitu 112.3 peratus diikuti Labuan (99.2%), Negeri Sembilan (99.2%), Perlis (94.3%) dan Pulau Pinang (91.2%). Paling rendah adalah di Sabah (66%) dan Kelantan (74.4%).

Sementara itu, negeri yang mencapai kadar vaksinasi 80 peratus ke atas adalah Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Johor, Melaka dan Sarawak.

Related posts

Leave a Comment