Maksimum 20,000 penonton Fasa 4

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Sebanyak 50 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum 20,000 penonton di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan hadir di stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kebenaran ke stadium bagi negeri Fasa 3 PPN adalah 30 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum 10,000 penonton.

Bagi negeri Fasa 2 PPN adalah 20 peratus atau maksimum 5,000 penonton.

Berdasarkan SOP (prosedur operasi standard) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa.

Presiden MFL Ab Ghani Hassan berkata,  kelab juga diberi kebenaran menentukan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan mereka dari aspek pengurusan, petugas stadium dan pasukan keselamatan pada hari perlawanan.

Bulan lepas, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan individu yang lengkap vaksinasi dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan dan rekreasi, kecuali kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 1 Oktober.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 berkata kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara dengan syarat penonton atau penyokong memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Ab Ghani berkata mana-mana pasukan yang ingin membenarkan penonton hadir ke stadium bagi perlawanan persahabatan sepanjang tempoh saingan Piala Malaysia berehat sehingga 28 Oktober ini, perlu memaklumkan kepada MFL terlebih dahulu.

“SOP yang lengkap berkenaan penyokong masuk ke stadium bermula 29 Oktpber ini akan diberikan kepada pasukan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment