Singapura catat 3,577 kes baharu

SINGAPURA 7 Okt. – Hari kedua, Singapura melaporkan lebih 3,000 kes Covid-19 semalam dengan merekodkan 3,577 kes berbanding 3,486 pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhan setakat tengah hari semalam sebanyak 113,381.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), sebanyak 15 kes import turut dilaporkan manakala tiga kematian juga dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 133 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan oleh koronavirus itu.

Kematian tersebut melibatkan tiga wanita Singapura berusia antara 68 dengan 102 tahun dan kesemuanya belum divaksin dan mempunyai pelbagai penyakit.

Antara kes-kes baharu, sebanyak 3,562 merupakan penularan tempatan, merangkumi 2,932 kes dalam masyarakat dan 630 di asrama pekerja asing.

MoH juga memaklumkan seramai 1,520 pesakit kini ditempatkan di hospital, kebanyakan daripada mereka berada dalam keadaan baik dan sedang dipantau.

Daripada jumlah itu, terdapat 255 pesakit yang memerlukan sokongan oksigen dan 37 di unit rawatan rapi  (ICU).

Menurut MoH, daipada kalangan mereka yang sakit teruk, 239 berusia lebih 60 tahun.

Sepanjang 28 hari lalu, terdapat 591 kes yang memerlukan bantuan oksigen dan 58 berada di ICU di mana daripada kalangan ini, 50.5 peratus sudah lengkap divaksin manakala 49.5 belum divaksin atau belum lengkap divaksin.

MOH juga menyatakan pihaknya sedang memantau lapan kluster jangkitan aktif termasuk di rumah jagaan MWS Christalite Methodist, yang merekodkan 76 kes termasuk 23 kes baharu.

Terdapat empat asrama pekerja asing dalam senarai kluster: Dormitori ASPRI-Westlite Papan, Dormitori Tampines, Jurong Penjuru Dormitory 1 dan Dormitori 9 Defu South Street 1.

Kluster lain adalah  di Learning Vision @ Changi Airport, Pusat Jagaan Harian Man Fatt Lam Elderly Joy dan Pasar Borong Pasir Panjang.

Related posts

Leave a Comment