Kes jangkitan meningkat semula

SINGAPURA 5 Okt. – Selepas dua hari berturut-turut menunjukkan penurunan kes Covid-19, Singapura melaporkan peningkatan semula kes semalam dengan 2,475 kes berbanding 2,057 (3 Oktober) dan 2,356 (2 Oktober).

Pada masa yang sama, lapan lagi warga Singapura berusia antara 60 dengan 94 tahun meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 106,318 dan 121 orang meninggal dunia setakat tengah hari semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), kematian melibatkan empat lelaki dan empat wanita warga Singapura – tiga daripada mereka belum divaksinasi serta mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

Daripada 2,475 kes baharu, 2,460 adalah jangkitan tempatan termasuk 1,859 kes dalam masyarakat dan 601 penghuni asrama pekerja.

Kes tempatan termasuk 402 warga tua yang berusia 60 tahun ke atas.

Sebanyak 15 kes import turut dilaporkan.

Menurut MoH, setakat ini terdapat 1,355 pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan.

Sebanyak 226 daripada mereka mengalami penyakit teruk yang memerlukan bantuan oksigen dan 35 dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Daripada jumlah mereka yang sakit tenat, 221 berusia lebih 60 tahun.

Sepanjang 28 hari lalu, 98.2 peratus kes tempatan tidak bergejala atau mengalami simptom ringan.

Sepanjang tempoh itu, 544 kes memerlukan bantuan oksigen dan 54 dirawat di ICU. 31.1 peratus daripada jumlah itu sudah lengkap divaksin manakala 68.9 peratus sama ada belum divaksin atau sudah menerima suntikan dos pertama.

Sementara lapan kluster aktif dilaporkan termasuk di Learning Vision@Changi Airport yang melibatkan dua kakitangan dan 10 murid.

Asrama ASPRI-Westlite Papan dan PPT Lodge 1B serta asrama Avery Lodge dan Tampines turut dimasukkan dalam senarai kluster koronavirus.

Kluster asrama Avery Lodge yang mempunyai 445 kes jangkitan Covid-19 merupakan kluster terbesar dengan enam kes baharu.

MoH menyatakan semua kluster asrama melibatkan penularan dalaman  dalam kalangan penghuninya, tanpa bukti terdapat jangkitan menular ke luar kawasan penempatan itu.

Related posts

Leave a Comment