2,057 kes, 6 kematian di Singapura

SINGAPURA 4 Okt. –  Singapura melaporkan 2,057 kes baharu Covid-19 serta enam kematian setakat tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan 103,843 kes dan 113 orang meninggal dunia.

Jumlah kes harian menunjukkan penurunan selama dua hari berturut-turut apabika 2,909 kes dilaporkan pada 1 Oktober turun kepada 2,356 kes pada 2 Oktober.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,049 adalah penularan jangkitan tempatan meliputi 1,676 kes dalam masyarakat dan 373 penghuni asrama pekerja .

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), daripada jumlah kes baharu itu, 430 adalah warga emas berusia atas 60 tahun.

Selain itu, lapan kes import dilaporkan, semuanya dikesan sejurus tiba di Singapura.

Sementara itu, daripada enam kematian yang dilaporkan akibat komplikasi Covid-19, lima adalah lelaki rakyat Singapura dan seorang lagi merupakan wanita warga tempatan, berusia antara 68 hingga 91 tahun.

Dalam kalangan mereka, dua belum divaksin sama sekali terhadap jangkitan Covid-19 manakala empat sudah lengkap divaksin.

Lima daripada mereka mengalami masalah kesihatan sedia ada, manakala satu kes yang belum divaksin tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang diketahui.

Ketika ini  terdapat 1,337 pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan.

Sebanyak 250 kes sakit teruk yang memerlukan bantuan sokongan oksigen dan 35 dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU) manakala 242 yang tenat berusia 60 tahun ke atas.

Sepanjang 28 hari lalu, peratusan kes tempatan yang tidak bergejala atau mengalami simptom ringan adalah 98.1 peratus.

Sepanjang tempoh itu, 539 kes memerlukan bantuan oksigen dan 55 dirawat di ICU. Daripada jumlah itu, 50.2 peratus sudah lengkap divaksin dan 49.8 peratus sama ada belum divaksin atau sudah menerima suntikan dos pertama.

Related posts

Leave a Comment