Covid-19 : Operasi Pulih di Brunei

BERAKAS 2 Okt. – Brunei Darussalam mengambil langkah mengekang penularan pandemik Covid-19 melalui  ‘Operasi Pulih’ selama dua minggu mulai Isnin ini, 4 Oktober sehingga 17 Oktober.

Operasi Pulih ini adalah lanjutan langkah-langkah pengawalan yang telah diumumkan pada 3 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Dr. Mohd. Amin Liew Abdullah berkata dalam tempoh dua minggu ini beberapa strategi tambahan akan juga dilaksanakan.

Ini termasuk agensi-agensi penguatkuasaan akan mempertingkatkan pengawasan (surveillance) dan aktiviti penguatkuasaan (enforcement) agar orang ramai terus bekerjasama mematuhi arahan-arahan sekatan yang dikeluarkan.

Bercakap pada sidang media  Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Brunei Darussalam di sini semalam, beliau berkata, orang ramai disaran berada di rumah masing-masing pada setiap malam mulai pukul 8 malam hingga 4 pagi.

“Ini adalah untuk mengurangkan pergerakan serta risiko penularan jangkitan Covid-19. Pengecualian hanya diberikan atas urusan-urusan kecemasan dan mendesak atau menjalankan kerja sebagai petugas kritikal sahaja, “ katanya.

Katanya, dalam tempoh dua bulan yang lalu, kerajaan telah mencuba untuk mengawal penyebaran jangkitan Covid-19, dan dalam tempoh itu peningkatan angka kes jangkitan masih lagi terus meningkat.

“Kita menjangkakan angka kes jangkitan akan menurun dalam beberapa minggu yang lalu namun terjadi sebaliknya, ini disebabkan orang ramai masih lagi berjalan-jalan, melawat rakan dan menghadiri jemputan dan sebagainya,” katanya.

Justeru katanya,  lekukan (curve) masih terus meningkat dan perlu untuk mengatasinya dengan cara yang berbeza.

“Kita bukan sahaja bergantung kepada agensi penguatkuasaan bahkan akan terus meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan kerjasama orang ramai adalah diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama penghulu mukim dan ketua-ketua kampung diperlukan untuk memantau anak-anak buah kampung masing-masing dan melaporkan jika ada berlaku aktiviti perkumpulan atau perjumpaan kepada talian yang disediakan.

Related posts

Leave a Comment