Berbaki 3 % sebelum rentas negeri

PUTRAJAYA 2 Okt. – Berbaki 3.2 peratus lagi untuk mencapai kadar 90 peratus kadar vaksinasi dewasa sekaligus membuka laluan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan serta aktiviti rentas negeri.

Ini berikutan sehingga malam tadi, seramai 20,317,843 individu atau 86.8 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 94.2 peratus atau 22.1 juta populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 20,389,622 individu atau 62.4 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 manakala 72.4 peratus atau 23.6 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 71,779 atau 2.3 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 237,245 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK) adalah 43,933,988 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Related posts

Leave a Comment