Tentera AS, NATO tinggalkan Afghanistan

PRESIDEN Joe Biden mengumumkan hasrat mengundurkan baki tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan bermula 1 Mei depan sehingga pengunduran sepenuhnya dijadualkan selesai menjelang 11 September.

Bercakap pada sidang media di White House pada Rabu, beliau berkata sudah tiba masanya Amerika menamatkan perang paling panjang, iaitu sejak 2001.

Ketika ini, sekurang-kurangnya 2,500 anggota tentera Amerika masih berkhidmat di Afghanistan.

“Saya rumuskan sudah tibanya menamatkan perang paling panjang Amerika. Sudah tiba masanya tentera kembali ke tanah air.

“Apabila saya dipilih, saya mewarisi perjanjian diplomatik dengan kerajaan Taliban, yang mana tentera akan berundur dari Afghanistan menjelang 1 Mei 2021, tiga bulan selepas saya mengangkat sumpah.

“Komitmen ini yang diwarisi. Ini adalah perjanjian yang dibuat kerajaan Amerika Syarikat. Ia memberi makna tersendiri.

“Mengotakan janji ini adalah kepentingan nasional. Amerika akan mula mengundurkan tentera pada 1 Mei tahun ini,” katanya.

Jelas Biden, Amerika akan kekal menyokong rundingan pelan damai Afghanistan selepas pengunduran selesai.

Sementara itu Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg juga mengumumkan pengunduran 7,000 anggotanya dari Afghanistan bermula 1 Mei susulan keputusan AS berbuat demikian.

Pengunduran dijangka selesai dalam tempoh beberapa bulan.

“Kami berada di Afghanistan selama hampir 20 tahun berdasarkan Artikel 5 perjanjian bagi menyokong Amerika Syarikat susulan serangan pengganas pada 11 September.

“Kami sudah membayar harga yang tinggi. Ribuan anggota dari negara pakatan sudah berkorban dengan begitu banyak,” kata Stoltenberg.

Keputusan ini dibuat selepas beberapa rundingan dengan Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken dan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin di Brussels.

NATO dan AS bagaimanapun memberi jaminan akan terus memberi sokongan dari segi pertahanan kepada Afghanistan selepas proses pengunduran selesai.

Related posts

Leave a Comment