Trend penurunan kes di Thailand

BANGKOK 28 Sept. – Thailand terus menunjukkan trend penurunan kes jangkitan harian Covid-19 apabila merekodkan 9,489 kes hari ini dengan jumlah kematian pula 129 orang.

Semalam, 10,288 kes Covid-19 direkodkan dengan 101 kematian dan 12,353 dengan 125 kematian pada 26 September.

Daripada 9,489 kes baharu, sebanyak 9,220 adalah dalam kalangan orang awam termasuk 10 kes import dan 269 dalam kalangan banduan.

Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,581,415 dan 16,498 orang meninggal dunia.

Sebanyak 12,805 pesakit dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah keseluruhan 1,448,206 orang pulih.

Bangkok merekodkan kes kematian tertinggi dengan 25 kematian manakala Samut Prakan (5), Samut Sakhon (3), Nakhon Pathom (3) dan Pathum Thani (3).

Sementara itu Bangkok juga merekodkan kes tertinggi iaitu 1,557 diikuti Samut Prakan 722, Chonburi 712, Pattani 413, Nakhon Si Thammarat 389, Narathiwat 346, Yala 291, Songkhla 281, Nakhon Ratchasima 275 dan Rayong 259.

Sepuluh kes import pula adalah dari Israel (1), Jerman (2), Ireland (1), Jepun (1), Indonesia (1), Kemboja(1), Malaysia (1) dan Myanmar (2).

Setakat Isnin, sebanyak 116,711 pesakit mendapatkan rawatan di hospital, termasuk  3,283 yang kritikal dan 738 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Related posts

Leave a Comment