Tahap pematuhan SOP faktor kes berubah

KOTA KINABALU 27 Sept. – Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat negeri ini dipercayai menjadi faktor kes harian Covid-19 di Sabah sentiasa berubah serta menunjukkan peningkatan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun, berkata faktor itu dilihat antara sebab kes baharu Covid-19 di Sabah meningkat semula melebihi 1,000 kes semalam selepas mencatat tiga angka kelmarin.

Katanya, ketidakpatuhan terhadap SOP menyebabkan virus Covid-19 mudah merebak dan akhirnya menjangkiti ramai orang sekali gus menyebabkan statistik jangkitan baharu virus berkenaan naik semula secara mendadak.

Sabah kembali mencatat peningkatan melepasi 1,000 kes setelah buat pertama kalinya mencatat angka jangkitan di bawah 1,000 kelmarin, dan berada pada paras melebihi 1,000 kes sehari selama hampir dua bulan sejak 4 Ogos lalu.

Sabah mencatat 1,078 kes baharu Covid-19 semalam, menunjukkan peningkatan 116 kes berbanding 962 kes kelmarin.

Masidi berkata perubahan angka harian kes Covid-19 di Sabah yang tidak statik dipengaruhi oleh tahap pematuhan orang ramai di negeri ini terhadap SOP.

Semakin tinggi kadar pematuhan SOP maka semakin rendah risiko untuk berlaku pertambahan jangkitan.

Related posts

Leave a Comment