4 minggu Singapura perlahankan penularan

MULAI hari ini, 27 September hingga 24 Oktober, Singapura mula melaksanakan langkah-langkah memperlahankan penularan kes Covid-19 berikutan kadar jangkitan yang terus meningkat berlipat ganda sehingga menghampiri 2,000 kes.

Beberapa langkah yang diambil sebelum ini dan kemudiannya ditarik balik dilaksanakan semula terutama berkaitan perhimpunan sosial.

Untuk rekod, Singapura melonggarkan langkah-langkah keselamatannya kira-kira enam minggu lalu, antara lain membenarkan kumpulan sehingga lima orang menjamu selera di luar. Ketika  itu, jumlah jangkitan harian di bawah 100 kes.

Kini, menjamu selera di premis makanan dan minuman (F&B) dikurangkan kepada dua orang sahaja – berbanding lima sebelum ini, had tetamu ke setiap rumah ditetapkan pada dua sehari, pembelajaran di rumah (HBL) untuk murid sekolah rendah dan Sekolah Pendidikan Khas (SPED) dilanjutkan sehingga 7 Oktober ini.

Pada sidang media baru-baru ini, Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Antara Kementerian (MTF), Gan Kim Yong, berkata langkah sekatan ini diharap dapat memperlahankan rentak penularan.

Beliau memberi amaran, jika trend peningkatan kes berterusan, jumlah kes dijangka meningkat seganda ke 3,200 sehari minggu ini, dan mungkin lebih tinggi lagi.

Seorang lagi pengerusi bersama, Menteri Kewangan, Lawrence Wong, yang juga pengerusi bersama MTF berkata, Singapura belum perlu kembali ke fasa kewaspadaan dipertingkat atau pemutus litar.

“Namun langkah yang diambil sekarang “memberikan sedikit masa agar keupayaan sistem penjagaan kesihatan dapat dipertingkat”, katanya.

Langkah yang diumumkan kali ini juga bertujuan memastikan sistem penjagaan kesihatan boleh menampung kes-kes yang ada, di samping memperlahan rentak penularan bagi melindungi sistem hospital.

“Kita tidak akan kembali kepada senario dengan jumlah kes jangkitan harian rendah.

Namun, disebabkan jumlah kes yang melonjak tinggi, serta tekanan terhadap sistem dan pekerja sektor penjagaan kesihatan, kita perlukan langkah-langkah sementara ini,” kata Wong.

Pada masa yang sama, pemerintah juga mengumumkan pakej bantuan bernilai $650 juta, termasuk sokongan gaji dipertingkat di bawah Skim Bantuan Pekerja (JSS) sebanyak 25 peratus, bagi memberi sokongan lanjutan kepada sektor terjejas – termasuk F&B, runcit dan pelancongan – bagi tempoh empat minggu ini.

Selain itu, bantuan sewa selama dua minggu bagi pemilik gerai makanan atau pasar yang dikendalikan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), pemandu teksi dan kereta sewa juga menerima bantuan di bawah Dana Bantuan Pemandu bagi bulan Oktober dan November.

Related posts

Leave a Comment