Fasa penstabilan hadapi lonjakan

SINGAPURA 25 Sept. – Singapura akan menjalani Fasa Penstabilan selama sebulan bermula 27 September hingga 24 Oktober depan, untuk memperlahankan penularan virus Covid-19 dalam masyarakat.

Di bawah fasa tersebut, antara lain, kerja dari rumah akan dianggap gagal hadir bagi pekerja yang boleh ke tempat kerja; dan saiz kumpulan yang dibenarkan untuk perhimpunan sosial akan dikurangkan kepada maksimum dua orang berbanding lima

Langkah itu berikutan lonjakan  kes Covid-19 dengan cepat yang mencetuskan “tekanan serius” terhadap sumber-sumber hospital meskipun para pesakit dipindahkan ke kemudahan jagaaan masyarakat dan menjalani pemulihan di rumah.

Pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian, Gan Kim Yong berkata, bagi memastikan sistem jagaan kesihatan boleh terus menangani kes-kes tersebut, Singapura mengambil langkah memperlahankan kenaikan kes.

Bercakap pada sidang media petang semalam, Gan menarik perhatian kepada kenaikan tinggi jumlah kes tempatan di Singapura sejak dua minggu lalu hingga hampir mencecah 1,600 kes sehari.

“Jika trend ini berterusan, bilangan kes dijangka naik seganda kepada 3,200 sehari menjelang minggu depan dan mungkin juga naik lebih tinggi daripada itu,” tambah beliau sambil menegaskan Singapura sedang memantau jumlah kes teruk Covid-19.

Katanya, jika jumlah kes positif terus naik dengan cepat, pihaknya menjangkakan bilangan kes teruk juga meningkat.

“Malah, kami sudahpun mula menyaksikan kenaikan kes pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, yang dimasukkan ke ICU dan jumlah kematian, sebahagian besarnya daripada kes-kes yang dijangkiti beberapa minggu yang lalu,” kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan itu.

Sementara itu, seorang lagi pengerusi bersama, Lawrence Wong akur  rakyat Singapura mungkin kecewa dengan sekatan-sekatan baharu itu.

“Sebelum ini, kita semua berharap bahawa kita boleh meninggalkan sama sekali sekatan-sekatan tersebut, terutama sekali dengan kadar vaksinasi yang tinggi dan dengan perancangan untuk melangkah ke hadapan sebagai negara yang berdaya bingkas Covid-19.

“Namun hakikatnya adalah dengan kenaikan kes jangkitan sekarang ini, sistem jagaan kesihatan dan para petugas jagaan kesihatan kami berdepan banyak tekanan. Dan itu sebabnya kami harus membuat keputusan amat sukar ini untuk mengambil tindakan tegas dan memperlahankan kadar penularan,” katanya.

Beliau berkata, Singapura tetap komited kepada perancangan untuk membuka semula ekonominya.

“Selepas gelombang ini susut, dan sudah tentu waktu itu akan tiba satu hari nanti, jumlah kes harian akan berkurangan. Tetapi ia akan menjadi stabil pada tahap yang baru yang dijangka lebih tinggi berbanding bilangan yang kita sudah terbiasa sebelum ini,” kata Wong.

Beliau menegaskan Singapura tidak akan kembali ke senario di mana kes harian rendah.

“Ia tidak mungkin berlaku kerana kami sedang melangkah ke hadapan untuk hidup dengan virus ini dan kami akan meneruskan perancangan untuk membuka semula ekonomi.

“Ini adalah sebahagian daripada penyesuaian yang kita semua harus lakukan untuk mempersiapkan diri apabila Covid menjadi penyakit endemik dan belajar untuk hidup dengan kes harian yang lebih banyak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment