12,607 berjaya ke Langkawi

LANGKAWI 25 Sept. – Pasangan suami isteri dan dua lagi individu tidak dibenarkan menaiki feri di Terminal Feri Kuala Kedah selepas dikesan positif Covid-19 semalam.

Suami isteri itu masing-masing berusia 30 tahun manakala dua lagi merupakan seorang lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 40-an.

Mereka dikesan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika pemeriksaan pengesanan Covid-19 di terminal tersebut sebelum menaiki feri pukul 1.30 petang.

Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka dikesan positif selepas melakukan ujian kendiri saliva yang menunjukkan keputusan dijangkiti Covid-19.

Beliau memaklumkan, polis telah meminta KKM untuk mengesan kontak rapat kerana bimbang mereka terlepas menaiki feri ke Langkawi.

Katanya, seramai 216 penumpang yang menaiki feri dari Kuala Kedah ke Langkawi perlu melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sehubungan itu, Kamarul menyarankan pelancong yang mahu ke pulau peranginan itu supaya membuat ujian saringan lebih awal bagi mengelak penularan di kawasan terminal.

Beliau turut memaklumkan, jumlah ketibaan pelancong yang direkodkan ke Langkawi sejak 16 September lalu adalah seramai 12,607 orang, membabitkan 11,853 pelancong domestik dan 754 antarabangsa.

Daripada jumlah itu 8,587 pelancong tiba melalui penerbangan dan 4,020 pelancong menggunakan jalan laut.

Related posts

Leave a Comment