Mutasi baharu sudah dijangka

BELUM ada bukti menunjukkan varian baharu Covid-19 di United Kingdom dan Afrika Selatan mampu menyebabkan risiko kematian atau tahap parah yang lebih tinggi, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau menjelaskan, mutasi baharu virus ini sudah dijangka dan merupakan proses semula jadi.

“Dalam beberapa hari lepas, terdapat laporan berhubung varian baharu Covid-19 di Afrika Selatan dan United Kingdom. Seiring dengan perubahan masa, virus akan bermutasi,” katanya.

Tegas Ghebreyesus, pada sidang media di Geneva berkata, kekangan mendapatkan virus dengan segera masih menjadi strategi utama.

Sementara itu, Ketua teknikal WHO, Maria Van Kerkhove berkata, tiada bukti yang menunjukkan varian baharu di United Kingdom dan Afrika Selatan saling berkaitan.

WHO sedang bekerjasama dengan saintis untuk memahami bagaimana virus ini berubah.

Selain WHO, saintis lain turut menjangkakan mutasi virus ini.

Sementara itu, Dr Julian Tang dari University of Leicester menjelaskan, antara punca mutasi tersebut adalah tahap pematuhan penjarakan fizikal dan kawalan kendiri yang semakin berkurangan di UK.

“Virus ini, mutasi sudah ada, malah sebelum perintah berkurung lagi. Namun ketika perintah berkurung, ia tidak tersebar dan tidak mereplika.

“Bagaimanapun, selepas perintah berkurung, virus itu mula tersebar. Orang ramai tidak lagi terkurung di rumah, mereka keluar, pergi ke Oxford Street, membeli-belah dan virus tersebar.

“Kemudian, virus itu telah mencapai satu tahap pada laluan mutasinya yang akan terus bermutasi pada orang-orang berbeza,” jelasnya.

Sementara itu,  Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Michael Ryan berkata,  jenis baru virus Covid-19 yang dikesan di Britain dengan kadar jangkitan lebih tinggi, berada dalam keadaan terkawal.

Katanya, jenis baru virus itu mampu dibendung dengan penggunaan langkah kesihatan sedia ada.

“Kami pernah berdepan situasi lebih teruk (kadar jangkitan) ketika peringkat-peringkat berbeza dalam pandemik ini dan kami boleh mengawalnya.

“Situasi ini bukan sesuatu di luar kawalan tetapi ia tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan yang sepatutnya,” katanya.

Ryan berkata, langkah yang dilaksanakan kini adalah langkah tepat untuk berdepan penularan baru itu.

“Kita perlu bertindak seperti yang kita pernah lakukan namun kita perlu berusaha lebih keras untuk memastikan ia dapat dikawal,” katanya.

Sekurang-kurangnya 30 negara menyekat kemasukan pelancong dari Britain atau Afrika Selatan bagi mencegah virus itu daripada menular lagi.

Related posts

Leave a Comment