Peraturan baharu solat di Selangor

SHAH ALAM 22 Sept. – Selangor membenarkan sehingga 1,000 jemaah bersolat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), manakala 350 hingga 500 jemaah bagi masjid lain mengikut kategori.

Dalam satu surat edaran dalaman yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam memaklumkan ketetapan baharu itu berkuat kuasa hari ini, sehingga suatu tempoh yang akan ditentukan kelak.

Ketetapan itu mengambil kira penurunan kes semasa yang terus konsisten dan terkawal, peningkatan peratus vaksinasi lengkap dan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang sangat signifikan.

Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masjid institusi pula, masing-masing 500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 jemaah bagi solat lima waktu.

Masjid pengurusan ditetapkan 400 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 bagi solat lima waktu manakala masjid kariah 350 termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 200 bagi solat lima waktu.

Surau kebenaran solat Jumaat pula 250 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 200 bagi solat lima waktu.

Surau kariah dan musolla pula masing-masing 100 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan dan perlu lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.

Turut dibenarkan hadir di masjid dan surau untuk solat adalah ahli kariah muslimat.

Masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan.

Jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid/surau boleh dipertimbangkan.

Selain itu dimaklumkan, program mengimarahkan masjid dan surau dibenar dilaksana, antaranya kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.

Bagaimanapun, jamuan selepas majlis dan penyediaan secara hidang tetap tidak dibenarkan.

Related posts

Leave a Comment