Rentas negeri selepas 90% vaksinasi

PUTRAJAYA 22 Sept. – Rakyat dibenarkan merentas negeri dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini, berkata perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikannya hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan, kerajaan turut membenarkan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan apabila mencapai kadar vaksinasi berkenaan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM.

Pusat, premis dan produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, juga dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha, operator dan pelawat atau pengunjung lengkap divaksin,” katanya.

Ketetapan lain yang dipersetujui termasuk:

1. Kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam berkuatkuasa 23 September 2021.

2. Operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness) dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021.

3. Pusat/premis/ produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan, memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha/operator dan pelawat/pengunjung lengkap divaksin.

4. Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100% dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

Sehubungan dengan kelonggaran itu, kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja yang telah lengkap divaksin.

Buat warganegara Malaysia yang tiba di pintu masuk antarabangsa tidak perlu membayar kos ujian RT-PCR, bagi warga asing kos ujian perlu ditanggung sendiri.

Related posts

Leave a Comment