Singapura terima 101,000 dos

SINGAPURA 20 Sept. – Sebanyak 101,000 dos vaksin Sinovac tiba di Singapura pada hari ini, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Tempahan itu adalah daripada institusi-institusi jagaan kesihatan swasta dan Kementerian Kesihatan (MoH) membantu untuk memudahkan penghantaran tempahan itu di bawah laluan akses khas.

“(Vaksin ini) akan memanfaatkan individu-individu seperti mereka yang mempunyai alahan terhadap vaksin mRNA,” kata Ong dalam catatannya di Facebook.

Menurut Ong, dua peratus penduduk Singapura sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin Sinovac, yang ditadbir oleh MOH serta klinik privet yang diluluskan.

Menteri itu turut mendedahkan bahawa bekalan baharu vaksin itu akan tersedia di sesetengah klinik dalam masa beberapa hari lagi.

Pada Jun, vaksin Covid-19 keluaran Sinovac mendapat kelulusan untuk digunakan di Singapura di bawah laluan akses khas setelah ia diluluskan untuk kegunaan darurat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Melalui laluan akses khas, institusi-institusi jagaan kesihatan swasta boleh membawa masuk vaksin Covid-19 yang tidak berdaftar.

Vaksin-vaksin itu bagaimanapun mestilah dalam senarai kegunaan darurat WHO dan ia termasuk vaksin oleh Johnson & Johnson, AstraZeneca dan Sinopharm. 

Related posts

Leave a Comment