Tiada kemasukan baharu pekerja asing

PUTRAJAYA 19 Sept. – Tiada kemasukan baharu pekerja asing di negara ini termasuk pembantu rumah dari negara jiran sejak 18 Mac tahun lalu sehingga 31 Disember ini, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Berikutan itu pihaknya menasihatkan agensi pekerjaan swasta yang berdaftar di bawah kementeriannya tidak membuat kenyataan atau pengiklanan perkara itu kerana boleh mengelirukan majikan.

Katanya, sebarang keputusan untuk membawa masuk pekerja asing termasuk pembantu rumah akan diumumkan selepas perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sumber Manusia serta kementerian lain berkaitan.

Dalam pada itu, Saravanan berkata pihaknya masih berunding dengan Indonesia bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengambilan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) yang tamat pada 30 Mei 2016.

“Umum mengetahui, majoriti pembantu rumah asing di negara ini adalah dari Republik Indonesia dan sehingga Ogos lalu, sebanyak 64,181 pembantu rumah asing diambil daripada PDI. Angka itu adalah daripada jumlah keseluruhan 92,481 pembantu rumah asing di negara ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment