Masjid di Perlis buka sepenuhnya

KANGAR 19 Sept. – Semua masjid di Perlis dibuka sepenuhnya mulai Rabu ini dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) diperketat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hanya anak kariah yang melengkapkan vaksin Covid-19 akan dibenarkan hadir ke masjid.

Vaksin lengkap adalah selepas 14 hari dari tarikh menerima suntikan dos kedua bagi vaksin jenis Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac.

“Bagi vaksin jenis Johnson & Johnson dan Cansino adalah selepas hari ke-28 dari tarikh suntikan dos kedua,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, sebagai langkah kawalan dan penyelarasan, surau atau tempat solat umum lain masih ditutup melainkan mendapat kebenaran khas MAIPs atau Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

Baginda bertitah, individu yang terbabit aktiviti rentas sempadan tidak dibenarkan hadir ke masjid dalam tempoh dua minggu dari tarikh terakhir melakukan aktiviti itu dan semua jemaah perlu mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan ditetapkan.

Selain solat fardu dan solat Jumaat, aktiviti lain dibenarkan adalah solat jenazah, kuliah agama, ceramah, akad nikah dan jamuan makan dengan cara mengedar makanan siap dibungkus,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment