Singapura capai 1,000 kes harian

SINGAPURA 19 Sept. – Seperti yang dijangkakan oleh pemerintah, jumlah kes jangkitan Covid-19 di Singapura telah pun mencecah 1,000 kes semalam.

Sebanyak 1,004 kes tempatan direkodkan setakat tengah hari semalam (Sabtu 18 September) dengan satu lagi kematian disebabkan komplikasi jangkitan koronavirus.

Turut dicatatkan lima kes import yang membawa jumlah kes harian 1,009 manakala jumlah keseluruhan kes di Singapura 76,792.

Menurut Kementerian Kesihatan, seorang lelaki warga Singapura berusia 90 tahun yang tidak divaksinasi dan mempunyai sejarah penyakit barah, sakit jantung dan radang paru-paru.meninggal dunia pada Jumaat (17 Sept.).

Lelaki tersebut menunjukkan gejala dan dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada 17 September dan disahkan positif Covid-19 pada hari yang sama.

Kematiannya menjadikan jumlah yang meninggal dunia di Singapura akibat Covid-19 mencapai 60 orang.

Jumlah kes jangkitan baharu ini terdiri daripada 926 kes dalam masyarakat dan 78 penghuni di asrama pekerja..

Sebanyak 863 pesakit kini dirawat di hospital di mana terdapat 105 kes yang sakit teruk hingga memerlukan bantuan oksigen dan 18 dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi (ICU).

Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 100 adalah warga emas berusia lebih 60 tahun.

Setakat Sabtu, Singapura melaporkan 76,792 kes Covid-19 secara keseluruhannya.

Satu kluster baharu Covid-19 di Pfizer Asia Pacific dengan 22 kes direkodkan di mana 20 daripadanya adalah kakitangan syarikat itu manakala dua adalah pekerja pembersihan. Bagaimanapun kemudahan itu tidak terlibat dalam pengeluaran vaksin.

Related posts

Leave a Comment