Singapura lapor 935 kes baharu

SINGAPURA 18 Sept. – Singapura melaporkan 934 kes tempatan baharu Covid-19 semalam merangkumi 838 kes dalam masyarakat dan 96 penghuni asrama pekerja asing manakala satu lagi kes import.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), daripada kes-kes tempatan itu, 241 adalah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas manakala jumlah kumulatif meningkat kepada 75,783 kes dengan 59 kematian.

Ketika ini MoH sedang memantau 12 kluster besar dengan kes-kes baharu iaitu kluster Rumah Jagaan Orange Valley di Simei bertambah kepada 17 kes, yang kesemuanya melibatkan penghuni rumah jagaan itu.

Sebanyak 256 kes dikaitkan dengan kluster Chinatown Complex termasuk 187 penggerai dan penolong gerai, 11 kakitangan pembersihan atau duta jarak selamat, dan 58 kontak yang tinggal serumah dengan para pekerja yang terjejas.

Kluster di Asrama Blue Stars meningkat kepada 71 kes kesemuanya sementara kluster  Asrama Avery Lodge kini mempunyai 95 kes.

Satu kluster besar di Sembcorp Marine Admiralty Yard kini melaporkan sebanyak 26 kes.

Sementara itu terdapat 813 pesakit yang sedang dirawat di hospital, dengan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan baik manakala, 90 kes sakit teruk yang memerlukan sokongan oksigen dan 14 dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU).

Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 82 adalah warga emas yang berusia lebih 60 tahun.

Related posts

Leave a Comment