Brunei Darussalam catat 143 kes

BANDAR SERI BEGAWAN 18 Sept.- Dua lagi kematian dalam kalangan pesakit Covid-19 dilaporkan hari ini melibatkan dua lelaki yang berusia 51 dan 82 tahun, kata Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar.

Katanya kes pertama, pesakit mengalami jangkitan paru-paru selepas dijangkiti Covid-19 manakala kes kedua mengalami pelbagai masalah kesihatan dan tidak dikategorikan sebagai kematian Covid-19.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 22 kematian.

Dr. Md. Isham berkata, sebanyak 143 kes baharu dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 4,957 dan dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster 4751 dengan 15 kes dan Kluster 4812 dengan enam kes.

Terdapat 37 tambahan kes baharu pada lapan kluster aktif yang melibatkan mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak bersama beberapa kes positif sebelumnya.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD), petang ini, sebanyak 85 kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Kluster 884 telah ditutup selepas tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari dan masih ada 89 kluster aktif.

Menurut Dr Md Isham, sebanyak 79 kes disahkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 3,335 kes manakala kes aktif 1,590.

Dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, sembilan kes adalah dalam keadaan kritikal, di mana lapan daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

Manakala, satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO).

Sementara itu, 21 kes lain, yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Related posts

Leave a Comment