Nasihat kepada warga emas

SINGAPURA 16 Sept. – Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) mengeluarkan nasihat kepada penduduk yang berusia 60 tahun dan ke atas supaya mengurangkan interaksi sosial sepanjang tempoh dua minggu akan datang.

Nasihat itu dikeluarkan ketika Singapura mencatatkan peningkatan kes Covid-19 dalam masyarakat sejak kebelakangan ini termasuk pada Selasa, 832 kes baharu Covid-19 dalam negeri termasuk 231 individu yang berusia 60 tahun ke atas.

“Warga emas berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi kesihatan yang serius jika mereka dijangkiti Covid-19,” kata agensi itu.

AIC menggesa semua warga emas dan mereka yang tinggal bersama golongan tersebut supaya mengambil langkah-langkah berwaspada tambahan untuk melindungi diri mereka daripada jangkitan koronavirus.

Warga emas sangat digalakkan supaya duduk di rumah sebanyak mungkin dan mengelakkan tempat-tempat yang sesak.

Mereka yang perlu keluar rumah untuk melakukan kegiatan-kegiatan penting seharusnya memakai pelitup dengan betul setiap masa dan terus mengamalkan kebersihan diri yang baik seperti kerap membasuh tangan.

Agensi itu juga menggalak para anggota keluarga supaya menolong warga emas di rumah dengan membeli barang keperluan. Mereka yang tinggal bersendirian pula seharusnya keluar rumah hanya untuk kegiatan-kegiatan penting saja seperti berjumpa doktor dan pulang ke rumah secepat mungkin.

Menurut AIC, warga emas boleh terus kekal aktif dengan melakukan kegiatan-kegiatan yang diusulkan dalam buku panduan yang diterbitkan oleh agensi itu dan melalui program-program kecegasan secara maya dengan memanfaatkan aplikasi Healthy365 atau membuat pendaftaran di laman ActiveSG.

Agensi itu juga menggesa warga emas yang belum divaksin supaya berbuat demikian secepat mungkin kerana risiko sakit teruk akibat jangkitan virus tersebut adalah “enam kali ganda lebih tinggi” jika mereka belum divaksin.

Related posts

Leave a Comment